Saturday, 18 August 2012

PBS Konsisten Perjuangkan Nasib Rakyat Sabah, Kata Pairin


Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS), yang ditubuhkan kira-kira 27 tahun yang lepas, konsisten dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, kata Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata walaupun banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam arena politik negara sepanjang tempoh itu, namun PBS berjaya menghadapinya dengan penuh ketabahan, keyakinan dan kekuatan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kejayaan itu adalah hasil sokongan berterusan rakyat dan pemimpin parti di semua peringkat termasuk anggota majlis tertinggi, ketua bahagian dan pemimpin akar umbi.

"Apabila mengimbau semula sejarah dan liku-liku perjuangan Parti Bersatu Sabah, saya begitu terharu dengan sokongan rakyat dan pemimpin parti yang selama ini begitu tabah untuk bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

"Terima kasih atas sokongan ini dan marilah kita terus memperbaharui tekad untuk terus menabur bakti kepada rakyat dan negeri ini demi kebaikan semua," katanya ketika berucap pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-72 di Dewan Putra Luyang, dekat sini malam tadi.

Turut hadir ialah ketiga-tiga timbalan presiden PBS iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Datuk Almudin Kaida.

Pairin berharap rakyat terutama golongan muda dapat menghayati sejarah perjuangan PBS terutama penglibatan parti itu dalam membela nasib rakyat Sabah termasuk masyarakat Kadazandusun Murut.

PBS merupakan parti terawal di negeri ini yang "lantang" memperjuangkan isu berkaitan dengan masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah dan konsisten dalam membangkitkan isu itu dalam setiap mesyuarat agung tahunannya termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemasukan PTI sejak parti berkenaan ditubuhkan hampir tiga dekad yang lepas.

Perjuangan selama 27 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan RCI dan termanya pada minggu lepas, yang disambut baik dan dilihat oleh rakyat Sabah sebagai jalan penyelesaian terbaik kepada masalah yang tidak berkesudahan itu.

Sebelum ini, dalam Kongres PBS tahun lepas, Pairin meminta agensi penguatkuasaan supaya meningkatkan pengawasan bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah dan diselesaikan menjelang 2012.

PBS yang diterajui Pairin turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan penubuhan Kolej Kadazandusun Murut (Kolej KDM) di negeri ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam lawatannya ke Tambunan, di bahagian pedalaman Sabah, awal tahun ini.

Cadangan penubuhan kolej berkenaan dibuat oleh Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (PEKADIN).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Be ethical please

Sahih International

And let there be [arising] from you a nation inviting to [all that is] good, enjoining what is right and forbidding what is wrong, and those will be the successful.

Malay

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Surat Ali-Imran 3:104)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

(Surat Ali Imran 3:118-119)

Tak Popular takpe